Thursday, May 28, 2009

Kenangan di 'ABUBAK'

Aku terkenangkan zaman aku dan rakan-rakan menyewa rumah yang di beri nama 'Abubak'.
Aku,si Jawa Johor,2 orang si mamat Ganu,2 orang Jawa Klang,abe Klate,dan mamat Penang.
Umur kami berbeza-beza,aku dan dua orang lagi sebaya,yang lainnya semua lebih senior.
Mula-mula kenal,aku panggil abg pada yang senior,lama-kelamaan panggil 'kau' dan 'aku' saja,lebih mesra.
Tapi itu bukan tiket untuk aku tidak hormat mereka,walaupun kami guna panggilan 'kau' dan 'aku', aku tetap hormat mereka sebagai senior.Tidak sesekali untuk mengambil kesempatan,kalau tidak jalinan persahabatan tidak akan kekal lama.

Belakang rumah Abubak tu Masjid.Masih terngiang-ngiang lagi laungan azan oleh Pakcik Tabligh setiap kali masuk waktu solat,terutamanya Subuh.Azan yang di kumandangkan sangat-sangat memecah keheningan Subuh.Suaranya sangat kuat,garau seolah-olah dia berada di sebelah telinga.Jadi,aku tidak perlu risau dan jarang kunci jam pada waktu Subuh,cukup dengan laungan azan dari Pakcik Tabligh tadi.Tidak patut kalau manusia di sekeliling Masjid itu tidak bangun dan pergi ke Masjid.

Pada satu hari tu,aku mendapat kecelakaan jalan raya ketika balik dari kuliah.Motor aku tegelincir dek pasir yang terdapat di atas jalan.Luka sana sini,kepala lutut yang paling dalam lukanya.Apabila di rumah,aku terpaksa memakai seluar pendek atas alasan sukar untuk bergerak.Makan seminggu juga,untuk luka di lutut betul-betul kering.Selepas 2 minggu,lutut aku sudah beransur pulih,tapi aku tetap pakai seluar pendek sebab selesa dan senang.

Pada satu tengah hari,kami satu rumah menonton televisyen.Sambil menonton,mamat Penang berbisik pada aku,"Sekejap lagi nak jumpa kau ya".Aku menganggukkan kepala.
Selepas habis tengok cerita,semua buat kerja masing-masing.Tinggal kami berdua tercongok depan televisyen. Dia pun memulakan bicara,"Aku hendak cakap sikit ya,kau jangan kecil hati dan fikir aku ni berlagak." Aku dengan muka selamba,"ok je,aku tak kisah pun.

"Aku cuma hendak tanya,macam mana dengan lutut kau?sudah baik ke?"tanya dia.
"Alhamdulillah,sudah baik,hendak berlari pun boleh",aku menjawab.
"Kau tahu kan,aurat lelaki dari mana sampai mana?"tanya si mamat penang.
"Tahulah,pusat sampai lutut,"dengan yakin aku menjawab.
"Kalau macam tu,kau sudah boleh pakai seluar panjang lepas ni kan"sambungnya lagi.
"Memang selama ni aku pakai seluar panjang,dekat rumah je aku pakai seluar pendek,ini pun sebab lutut aku luka."aku menjawab kehairanan.
"Masa lutut kau luka tidak mengapa,ada kelonggaran,sekarang sudah baik.Walaupun dalam rumah,kita kena tutup aurat juga.Dari paras pusat sampai lutut kita wajib tutup walaupun sesama lelaki,dan perempuan dengan perempuan,"terangnya lagi.
"Erk,aku betul-betul tidak tahu pasal perkara ini,"jawab aku kekeliruan.
"Tidak mengapa,sekarang kau sudah tahu kan?,"balas si mamat penang.
"Baiklah,sekarang ini aku betul-betul sudah tahu batas aurat yang sebetulnya",aku tersenyum dengan puas hati.

Nah.!kesan teguran itu aku ingat sampai sekarang,dan aku sangat menghargainya.Aku sangat tertarik dan menghargai Uslub Dakwah yang dia gunakan.Sambil menegur sambil mendidik.Itu antara adab yang kita lupa.Hukumnya haram jika tidak menutup aurat,tetapi kawan aku tidak menegur aku dengan melulu.Cuba bayangkan kalau dia menegur dengan cara,"Hei,nampak kepala lutut..! HARAM.! Masuk Neraka..!". Agak-agaknya apa reaksi aku atau orang lain yang ditegur sedemikian rupa? Mungkin aku menjawab "siapa suruh tengok" atau "kau peduli apa" atau "elehh,macam bagus", itu mungkin respons yang akan aku bagi pada masa itu.

Setiap perilaku dan amalan harian para pendakwah dan umat Islam hendaklah mencerminkan kesucian Islam yang menjamin kesejahteraan dan ketenteraman sejagat. Setiap tindakan akan dilihat oleh masyarakat non Muslim untuk dinilai sebelum menerima Islam. Tingkah laku mestilah berasaskan nilai tauhid, mengikut syariat Islam serta berbentuk ajakan kepada kesempurnaan Islam

Pendidikan Islam sendiri merupakan proses mendidik akal, jasmani, dan rohani manusia berasaskan nilai-nilai fitrah insaniah. Proses pendidkan Islam ini akan membina akhlak dan membawa kepada kehidupan yang sempurna. Dakwah secara ini perlu merujuk kepada cara dakwah Rasulullah S.A.W semasa di peringkat awal Islam yang lebih memberi penekanan kepada psikologi, rohani dan perasaan.

Dakwah juga boleh dijelaskan sebagai tugas untuk "secara aktif" menggalakkan umat Islam dalam penerusan kewarakan lebih kuat dalam semua aspek hidup mereka," suatu takrifan yang telah dijadikan pusat pada fikiran Islam sezaman.

Sampai sekarang aku masih ingat teguran tersebut,aku sangat bersyukur dan sangat terkesan di hati.

~ Pengalaman aku, perempuan kurang ambil pusing auratnya bila sesama perempuan ~

Tuesday, May 26, 2009

Luahan Rasa

Aku hendak gembira,tapi tidak tahu hendak reaksi macam mana,aku blur.Honey pun terkejut dengan reaksi aku yang sangat-sangat blur.Cuma yang terpacul dari mulut aku "i love you,mama."

Itu antara reaksi aku bila dapat tahu akan berita gembira yang honey telah mengandung.Sepanjang hari itu,muka aku selamba,macam tiada perasaan.Akan tetapi,di dalam hati aku tersangat-sangat gembira.Allah sahaja yang tahu.

Rupa-rupanya,cara aku ekspres kegembiraan pada keesokannya.Bukan di rumah,tetapi di tempat aku bekerja.Sampai saja di muka pintu bilik aku bertugas aku menyapa dengan suara yang lantang,"Assalamualaikum.Salam Sejahtera.Good Morning.!"

Kebiasaannya aku buat hal sendiri di meja depan komputer,sekali sekala je aku akan bersuara atau berborak dengan rakan sekerja.Tetapi lain pulak yang jadi pada hari itu.Habis dengan semua orang aku berborak,mengusik,mengacau.'Team Leader' yang selalunya serius dengan aku pun menjadi mangsa aku. Masing-masing rasa pelik akan perangai aku hari itu.

"Wah,banyak mulut ya kau harini". "Kau kenapa harini,mie?".Antara pertanyaan yang mereka lontarkan pada aku.Aku jadi macam itu,sebab aku terlalu gembira dan mereka belum tahu aku bakal jadi baba.

Aku balik dari kerja,aku ceritakan pada honey,yang aku mengusik semua orang di pejabat sebab terlalu gembira.

~ Ada berbagai cara untuk luahkan gembira ~

Monday, May 18, 2009

1 Campur 1 Sama Dengan 3.



Apa yang tersirat,semakin terungkai.

Pada 4 MAY 2009,honey disahkan positif mengandung.Memang sebelum itu,honey kurang sihat.Kami hanya menjangkakan sakit perut orang perempuan.Pada malamnya honey pening-pening.Pada paginya,aku terdengar honey muntah di dalam bilik air,aku jenguk di pintu bilik air,dan mungkin honey gosok gigi kuat sangat sampai terjolok tekak.Pagi itu juga aku tak berapa bermaya,dan honey sediakan sarapan yang terdapat daging burger.Selesai makan,honey muntah atas alasan tak boleh bau daging burger pula.

Aku pulang dari kerja,honey menyorokkan sesuatu di tangannya.Rupanya,honey pergi farmasi beli 'alat pengesan cinta'.Aku macam tak percaya,tapi percaya yang aku lihat pada alat pengesan cinta tu ada dua 'line'.Apa tandanya tu?Itulah tanda yang honey positif mengandung,'pregnant',berbadan dua.

Aku hendak gembira,tapi tidak tahu hendak reaksi macam mana,aku blur.Honey pun terkejut dengan reaksi aku yang sangat-sangat blur.Cuma yang terpacul dari mulut aku "i love you,mama."
Kami masih tidak puas hati,kami pun bergegas siap untuk pergi ke klinik di Bangi.
Sambil tunggu nama di panggil,honey berbisik,"Nak cakap apa dengan doktor ni?" "Ntahlah,'first time' ni,hehe," balas aku selamba.

Masuk dalam bilik doktor,kami pun bagitahu perihal tersebut. Doktor pun ambil data serba sedikit,dan tanya pada kami,"Hendak uji lagi ke?".Doktor pun macam malas hendak buat,sebab data sudah kukuh.Kami mengangguk kepala tanda setuju.Sah,memang positif.Alhamdulillah.

Dalam perjalanan pulang,kami pun khabarkan berita gembira pada emak dan ayah,dan terus bertandang ke rumah mami dan bapak untuk maklumkan berita gembira tersebut.
Hendak dijadikan cerita,bukan keluarga yang tahu dahulu berita gembira ini,tapi naquib usrah aku semester pertama di Universiti dulu,abang Hafiz Abdullah yang tejumpa di klinik tersebut.

Terima kasih pada Yousri dan Suhaila yang bertanya khabar(main tembak nak korek rahsia mulanya),Afif,Dayana dan sahabat-sahabat yang lain yang bertanyakan khabar kami.Seolah-olah ada sensor di kalangan sahabat-sahabat rapat ni.Terima kasih atas doa kalian.

~Alhamdulillah,mudah2an sahabat-sahabat aku dapat merasai pengalaman yang sama,Amin Ya Rabbal 'Alamin! ~

Wednesday, May 13, 2009

Ku Bahagia



Ini adalah video klip yang aku buat sempena Majlis Resepsi Emisha yang lalu.
Setiap kali,aku tengok video klip ini, mood dan perasaan aku macam tengah berada di meja makan beradab.
Pada sesiapa yang tidak berkesempatan tengok klip ini semasa majlis,atau pun tidak dapat hadir,bolehlah layan sekejap.

Emisha bahagia,semoga kalian pun bahagia.

Bersangka-sangka

Ini ada sedikit perkongsian semasa aku menghadiri usrah kawasan.

Manusia hari ini suka bersangka-sangka
Ada sangkaan baik...
Ada sangkaan buruk

Orang beribadah
disangka riak
Orang yang rileks
disangka malas
Orang yang pakai baju baru
disangka menunjuk

Orang yang pakai baju buruk disangka hina
Orang makan banyak disangka pelahap
Orang makan sikit disangka kedekut

Orang baik
disangka buruk
Orang buruk
disangka baik
Orang senyum
disangka mengejek

Orang masam
disangka merajuk
Orang bermuzakarah
disangka mengumpat
Orang diam
disangka sombong

Orang menawan
disangka pakai susuk
Orang nampak ceria
disangka membela

mana tahu
yang diam itu
kerana
berzikir kepada Allah

mana tahu
yang senyum itu
kerana
bersedekah

mana tahu
yang masam itu
kerana
mengenangkan dosa

mana tahu
yang menawan itu
kerana
bersih hati dan mindanya

mana tahu
yang ceria itu
kerana
cergas cerdasnya

Jauhi sikap suka bersangka-sangka
kerana ia bakal memusnahkan ukhwah seperti musnah nya
kayu dimakan api…

Satu benda yang kita lihat, macam-macam kesimpulan
yang boleh kita buat.

Semuanya bergantung bagaimana kita melihatnya.

Oleh kerana itu, apabila kita mendapatkan informasi negatif tentang sesuatu yang berkait dengan peribadi seseorang apalagi seorang muslim, maka kita harus melakukan penyelidikan terlebih dahulu sebelum mempercayainya apalagi meresponnya secara negatif, Allah berfirman yang ertinya:
"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." Q.S Al-Hujuraat : 6

Allah berfirman lagi yang bermaksud:
"Hai orang-orang yang beriman jauhilah kebanyakan prasangka buruk, sesungguhnya sebahagian dari prasangka buruk itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang daripada kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati, maka tentunya kamu merasa jijik dan bertaqwalahh kepada Allah swt, sesungguhnya Allah maha penerima taubat lagi maha penyayang". Q.S Al-Hujuraat : 12

~ “Tegakkan Islam dalam diri kamu.. nescaya Islam akan tertegak diatas bumi kamu”Imam Al-Syahid Hassan Al- Banna.~

Sunday, May 10, 2009

Tipikal

Sejak dahulu lagi aku dok perhatikan telatah orang kita apabila menerima kunjungan tetamu. Perihalnya sama apabila kita bertandang ke rumah orang lain sebagai tetamu.

Apabila tetamu bagi salam,duduk,bertanya khabar serba sedikit. Tuan rumah pun minta izin,"Duduk ya,hendak pergi ke dapur sekejap." Kita sebagai tetamu pun menjawab dengan jawapan yang tipikal "Eh, takpe,takpe,tak perlu susah-susah."
"Alar,takpe,bukan ada apa pun, masak air je,"jawab si tuan rumah.

Selang beberapa minit.
Tuan rumah pun hidangkan air,mee goreng,kuih,buah,biskut,dan segala khazanah yang ada di hidangkannya pada tetamu.Punyalah kata tiada apa.Nah!habiskan makanan tu.

Si tetamu yang tadi kata tidak perlu susah-susah,datang sini bukan nak makan pun...
pejam celik,cedok sana,tambah sini,habis licin semua yang dihidangkan.

Bab berkemas aku paling suka.Memang ayatnya sangat-sangat tipikal.

Si tetamu pun kumpulkan pinggan mangkuk,cawan gelas yang di gunakan tadi.
"Eh,takpe,takpe,tinggalkan je atas meja tu,nanti saya boleh cuci.Tak perlu susah,tinggalkan je dalam sinki," sapa tuan rumah.Itu antara ayat-ayat yang berada di hujung bibir bila kita dalam situasi tersebut.

Amboi,baiknya si tetamu tadi siap nak tolong cucikan pinggan mangkuk walaupun ditegah oleh tuan rumah.

Perihalnya berbeza apabila berada di rumah sendiri.Yang tadi punyalah semangat hendak tolong cucikan pinggan mangkuk orang.Tetapi apabila di rumah sendiri,ayatnya ada sedikit perbezaan. Ayatnya bertukar menjadi, "Eh,takpe,takpe,susah-susah je,basuhlah takpe,basuhlah, tak kisah pun." Bukan diri sendiri yang nak cuci pinggan tu,orang lain pulak yang disuruhnya."Sila,silalah basuh pinggan tu,susah-susah je".

~ Di mana-mana pun,aku suka guna ayat yang terakhir tu..hehe. ~

Thursday, May 7, 2009

Hati Gumbira

Aku memberi sokongan dan merestui isteri aku,Honey untuk menggantikan cikgu PASTI Al-Abrar selama sebulan. Bukan asing tugas tersebut sebab sebelum ini Honey aku pernah bertugas di PASTI yang sama.

Aku temankan dia untuk melapor diri dan ambil fail-fail berkaitan. Sampai sahaja ke pintu PASTI,dah terdengar suara budak-budak menjerit kegirangan, "Cikgu Hanisah.!".Lalu,Honey terus masuk,aku hanya tunggu di dalam kereta.

Aku tutup 'air cond', lalu aku buka tingkap kereta. Terdengar aku perbualan emak kepada pelajar bernama Faizal dengan Kak Alin.

"Owh,itulah Cikgu Hanisah?",tanya emak Faizal.
"A'ah,cikgu ganti sementara,jawab kak Alin.
"Dari semalam Faizal dok sibuk bagitahu,Cikgu Hanisah nak datang,Cikgu Hanisah baik mak,",emak faizal bercerita.

Aku yang terdengar perbualan mereka,bukan rasa bangga,tapi hati aku terasa seperti di sira dengan air yang sangat sejuk.Aku tahu, apa yang keluar dari mulut budak-budak adalah sangat jujur.

Dalam perjalanan pulang aku pun bercerita dengan isteri yang aku sayangi.

"Honey,tadi sayang dengar mak Faizal cakap,bila Faizal dapat tahu Honey nak datang,dia pun khabarkan pada mak dia,Cikgu Hanisah nak datang,dia baik mak",aku ambil ayat dari mulut mak Faizal.

Aku dengan penuh teruja menyambung lagi berceloteh,"Bila Sayang dengar mak Faizal cakap macam tu,Sayang pun terbayang 'bestnya' bila anak kita cakap macam tu.

Aku bawa Honey dalam imaginasi aku.

"Cuba Honey bayangkan bila Sayang pulang dari kerja,anak kita pun sambut," yeay!Baba dah balik,Baba dah balik.",anak aku menjerit."Baba,Baba nak tahu tak, Mama kan baik sangat" kata si anak.

Belum pun aku habis berimaginasi,isteri aku menjawab ringkas, " Eleh, PENGAYAT".


~ Ceritera cinta, Masih ada yang tersirat ~

Tuesday, May 5, 2009

Jangan Putus Harapan

Ada seorang penternak yang susah dan miskin mengharapkan dirinya memperoleh kekayaan dengan cepat.
Lalu,dia pun berdoa agar ada keajaiban pada itiknya supaya dia memperoleh kekayaan. Ini kerana dia telah lama menjadi penternak,tetapi masih lagi hidup serba kekurangan. Dia juga tidak pernah putus-putus untuk berdoa,mengharapkan hidup lebih senang dan hidup mewah.

Setiap malam pun berdoa.
Sambil memberi makan itiknya,dia pun berdoa dengan penuh pengharapan.
Balik rumah,sebelum tidur pun berdoa."Bagilah aku kaya dengan cepat",doanya.

Bagi dirinya,dia dah banyak berusaha dan telah berdoa sesungguh-sungguh.

Keesokkannya dia pun mengambil seekor itik ternakannya,lalu dia pun membelah perut itik,dengan mengharap ada emas di dalam perut itiknya.Malangnya keajaiban yang diharapkan tidak kunjung tiba. Seekor demi seekor perut itiknya dipotong,tetap tiada hasil.

Di sebabkan sifatnya yang terburu-buru,kekayaan yang diharap tak kunjung tiba, itik ternakannya pun mati begitu sahaja...

Nasihat saya kepada diri sendiri khususnya, dan kepada semua secara umumnya,jangan putus harapan dan terus berjuang untuk terus hidup kerana hanya Allah yang berkuasa, berusaha mendekatiNya dan berusaha demi keluarga dan rancangan masa depan sambil berfikiran positif.

Kita tidak mengetahui qada dan qadar Allah.Manusia hanya perlu berusaha melaksanakan perintah Allah berdasarkan kepada syariat-Nya.Tidak akan mengubah qadar seseorang melainkan dengan doa sahaja.

Ketika kita berdoa sebaiknya jangan pernah memaksakan doa tersebut, sertakanlah Allah di dalam doa kita sebagai pemberi keputusan.

Mungkin,ada yang berdoa, "Ya Allah,jodohkanlah aku dan dia".
Adalah lebih baik kita berdoa,"Ya Allah, pilihkan jodoh untukku yang terbaik menurutMu, sesungguhnya aku berserah diri pada Mu".

Ketika menyertai Allah dalam doa, InsyaAllah yang kita dapatkan adalah yang TERBAIK. Kita mungkin tidak mendapatkan apa yang kita MAHU, tetapi Allah tahu apa yang terbaik untuk kita.Berdoalah apabila kita inginkan sesuatu perkara. Namun bukan doa memaksa Allah kurniakan. Doalah dalam tawakal kepadaNya. Istikharah dalam berdoa. Andai perkara itu baik buat kita, maka berikanlah. Andai sebaliknya, maka jauhkanlah.

Praktikal Tarbiyah oleh Allah dalam kehidupan kita.

Kita pohon kekuatan, tetapi Allah beri kesulitan untuk menjadikan kita kuat.
Kita pohon keteguhan hati, tetapi Allah beri masalah untuk kita atasi.
Kita pohon keyakinan, tetapi Allah beri ujian untuk memantapkan iman dan jiwa.
Kita pohon cinta, Allah berikan insan yang tulus untuk didampingi.
Kadangkala kita TIDAK DAPAT apa yang DIINGINI, namun kita SENTIASA DAPAT apa yang KITA PERLUKAN.

~ Alhamdulillah ~

p/s: Cerita penternak itik bukan mitos atau sejarah,cuma simbolik dari kotak imaginasi aku.