Tuesday, February 13, 2007

Belajar dari kegagalan v.2

Aku pernah gagal...

Semua kejadian buruk dan baik mempunyai hikmah, begitu juga dengan kegagalan. Oleh itu, aku perlu kenal pasti apakah punca sesuatu kegagalan itu. Jadikan ia sebagai tips atau pun panduan untuk aku keluar dari semua kegagalan tersebut.

Selain sebagai ilmu, kegagalan juga boleh menjadi cermin untuk aku menilai kembali ke atas tindakan yang pernah dan akan aku lakukan. Kesempurnaan itu hanya boleh diperoleh sekiranya manusia sering menilai kembali dirinya atau muhasabah diri. Dengan memiliki kegigihan setiap cabaran pasti dapat ditempuhi dengan baik. Segala cabaran yang mendatang dapat ditempuhi dengan lebih berhati-hati.

Belajarlah dari teman yang pernah mengalami kegagalan, kerana mereka lebih tahu cara untuk mengatasi sesuatu kegagalan. Kesannya kita akan berasa lebih mudah dalam mencari penyelesaian untuk keluar dari sesuatu masalah.

Justeru itu, aku perlu pupuk kemampuan diri untuk bangkit. Tidak semua usaha mendatangkan kebahagiaan. Namun bila dorongan di dalam diri berkembang, ia akan membuatkan aku bangkit dari kegagalan dan mampu menerima sebarang dugaan sebagai dorongan untuk terus berjuang dalam usaha meraih kebahagiaan.

/* Setelah kesulitan pasti akan datang kemudahan dan kelapangan pasti akan datang setelah adanya kesulitan. Sedarlah, bahawa keadaan seseorang itu tidak akan tetap selamanya sebagaimana hari-hari yang sentiasa berputar. */

Tuesday, February 6, 2007

Belajar dari kegagalan

Aku pernah gagal...

Salah satu rahsia kejayaan seseorang itu adalah tidak pernah berasa takut dengan kegagalan yang dialami. Kebanyakan mereka yang berjaya beranggapan kegagalan itu adalah CERMIN untuk membaiki diri dan JAMBATAN menuju kejayaan.

Kegagalan itu bukan sahaja membuatkan aku menjadi matang, malah kegagalan itu merupakan salah satu ujian yang boleh menguji kesabaran aku. Namun aku harus tahu, kegagalan itu tidak akan bermakna jika aku sentiasa menyalahkan nasib. Sehingga kan ada di antara kita hanya berserah tanpa berusaha untuk memperbaikinya.

Mungkin kalau aku lemah, kekalahan atau kegagalan adalah racun yang boleh memusnahkan diri. Namun aku perlu menjadi kuat dan menjadi seorang yang penyabar,dan minda aku akan menjadikan kegagalan itu merupakan satu tangga untuk menuju kemenangan.

Seperti falsafah melayu, Habis gelap timbullah terang. Ia jelas menunjukkan bahawa orang melayu khususnya mempunyai semangat ingin maju seperti mana diamalkan oleh masyarakat Barat.

Selain belajar dari kegagalan, sebenarnya banyak perkara yang perlu aku perhatikan untuk berjaya, antaranya kesabaran dan konsisten. Perlu disedari, kesabaran,ketabahan, dan konsisten adalah kunci kebahagiaan dan kejayaan seseorang. Namun apa yang yang lebih penting, aku harus ingat dan tanam dalam diri, bahawa tidak semua pekerjaan boleh diselesaikan dalam waktu yang singkat.Aku perlu rajin dan terus bersemangat untuk meletakkan diri aku di tingkat kejayaan.

Optimislah dan jangan berputus asa, dan janganah menyerah kalah tanpa berusaha. Ketahuilah, bahawa aku sebenarnya memiliki berbagai kenikmatan dan memiliki pundi-pundi kebaikan yang telah Allah kurniakan.

/* Bergembiralah dengan pilihan Allah untuk kita,sebab kita tidak tahu tentang maslahat yang tersembunyi disebaliknya. Boleh jadi kesulitan itu lebih baik bagi kita daripada kesenangan */