Tuesday, April 28, 2009

Dunia Sosial Internet

Persoalan yang timbul.

Ada beberapa sahabat yang bertanyakan pendapat aku,patut atau tidak kita padamkan akaun friendster,facebook atau sewaktu dengannya. Walaupun mereka minta 'pendapat' aku,tetapi helahnya supaya aku memberi jawapan tidak patut atas persoalan yang berkaitan. Ini mungkin pada mereka aku lebih berfikiran moden dan istilah KESYADIDAN aku bukan pada tahap 'Power Rangers'.

Untuk persoalan kali ini, aku tidak mahu memberi jawapan.Aku hanya ingin melontarkan pendapat dan idea sahaja.Memang setiap persoalan ada pro dan kontra, dan di sini kita perlu bincang bukan hanya secara relatif, tetapi perlu juga secara kolektif.

MENCARI SAHABAT

Bapak mentua aku yang berumur 63 tahun pun mempunyai akaun facebook. Aku rasa tak ramai golongan umur macam tu yang ada facebook selain daripada golongan politik atau berpengaruh.Aku sendiri pun tak layan facebook. Dia ada facebook bukan untuk popular,tapi untuk berkongsi pengalaman,rakannya bukan hanya di Malaysia,malah menembusi luar negara terutama Indonesia.Bulan Jun ni,dia akan bercuti di Indonesia. Nah,dia sudah pun ada kenalan di Indonesia, bukankah ini memudahkan bapak aku bila melancong ke sana. Sekarang ni pun bapak aku sibuk menghubungi kenalan facebook di Indonesia. Kenalannya juga bukan sahaja melayu,malah pelbagai bangsa. Dia juga mengambil kesempatan untuk menjadi rakan dengan ahli politik yang terkenal, dan yang menguntungkan dia bersahabat dengan golongan ustaz,contoh Ustaz Nasrudin tantawi dan Ustaz Hasrizal. Bapak menggunakan peluang yang ada untuk mengetahui jadual kuliah Ustaz-ustaz tersebut,bapak aku lebih 'update' dengan jadual kuliah di Surau atau Masjid hanya melalui kenalan di Facebook.

Friendster, facebook dan sewaktu dengannya, boleh di manfaatkan sebaik mungkin.Ada di kalangan sahabat aku, menjadikan medium tersebut untuk berniaga cup cakes. Rakan-rakan friendster boleh 'view' cup cakes pada profilnya dan membuat tempahan. Isteri aku baru mula untuk barang hantaran dan bunga tangan.Kawan sekolah aku berniaga beg tangan dan alat solek. Bukankah itu permulaan yang bagus, selain tolong kawan,harga pun boleh di runding. Kawan tolong kawan.

Ada juga yang mengambil kesempatan untuk bertanyakan alamat rumah untuk menghantar kad jemputan kahwin atau pun kad raya. Perkara ini tak perlu ulas panjang,kerana masing-masing akan melalui senario tersebut dan merasai pengalamannya nanti.

Gunakanlah Friendster secara ala kadar. Jangan melebihi kadar.Dan jangan fikir dengan ada beratus-ratus orang kawan di dalam senarai sahabat Friendster,menandakan kita sangat popular dan memiliki ramai kawan. Sahabat baik susah dicari.

Ada orang yang suka bermegah-megah dengan ramainya kawan yang mereka ada. Tapi betulkah kawan yang mereka ada itu benar-benar seorang kawan?
Kawan yang hanya bersama kita di waktu senang, itu tidak dinamakan kawan. Itu dinamakan parasit. Bukannya kita tidak pernah mendengar kisah sahih tentang persahabatan dunia moden. Dua orang ini siap pernah berbai'ah, atau pun taat setia. Tetapi apabila yang seorang lagi benar-benar di dalam kesusahan, tiba-tiba rakannya itu tidak mahu menolongnya. Ini kes kawan yang lari di waktu kita susah, belum lagi masuk bab kawan makan kawan, atau kawan tikam belakang.

Motor,kereta,parang,lilin adalah alat yang amat berguna tetapi memudaratkan jika disalahgunkan.
Ini termasuk komputer,pembaca yang membaca blog.Ada juga baik dan buruknya. Situasinya sama dengan melayari YouTube,jika kita pandai gunakan,kita beruntung. Kalau sebaliknya, merugikan dan mungkin berdosa. Kita kena belajar untuk menghargai dan menilai. Bukan hanya TAHU!

HUBUNGAN SOSIAL

Saya berpendapat, hubungan sosial melalui internet ini,kurang kualitinya. Kita boleh berjumpa kawan-kawan yang jauh atau dekat melalui internet 24jam sehari. Cuba kita bandingkan jika kita tidak berjumpa dengan kawan selama 5 tahun,dan kita bertemu setelah sekian lama di kedai makan hanya selama 1 jam.
Pasti kita akan terubat rindu dan kita dapat rasa betapa manisnya Ukhuwah yang terbina selama ini. Cuba kita sematkan dalam hati,dan nekad jika kita dapat jemputan kahwin rakan,atau pun kenduri kita cuba seboleh-boleh untuk mengahadirinya.Biarlah HARGA tol dan minyak RM20, tapi NILAI pertemuan dengan rakan-rakan dan saudara tidak ada harga.

Selain daripada friendster, kita juga diberi kemudahan 'chatting'.Kononnya friendster ni melalaikan,tapi chatting tak boleh tinggal. Virus chatting ni bahaya jika zaman belajar.Situasinya, dalam satu bilik di rumah sewa. Bilik tu ada 3 orang pelajar,masing-masing menghadap komputer,dan berchatting dengan rakan internet. Dok sibuk berchatting berjam-jam,rakan sebilik tidak pulak ditegurnya atau bertanya 'pekaba?'. Inikah persahabatan yang kita mahukan? Persahabatan yang kurang menghargai sahabat yang ada di sebelah?
Berchatting sampai ke petang,waktu riadah dilupakan.Perkara ini selalu dilupakan oleh pejuang-pejuang yang kental kononnya.Kalau tak beriadah macam mana badan nak cergas otak nak cerdas. Cuba berjogging atau main bola berjemaah.Badan sihat,kualiti persahabatan pun lebih erat.
Jika semakin ramai yang lebih suka bersosial di Friendster dan MSN Messenger berbanding di alam nyata. Tidakkah ini berlawanan dengan fitrah manusia?

MEMBUANG MASA

Jika ada golongan yang meninggalkan friendster atas dasar membuang masa,ada betulnya.Terutamanya pada golongan pelajar. Jika pelajar layan friendster selama 1 jam sehari.Bukan buat apa pun.cuma lihat profil orang-orang yang tak dikenali,merugikan masa tu satu.Keduanya kalau yang profil yang kita lihat pakai pakaian yang tak senonoh?Manfaat dunia tiada,apetah lagi manfaat akhirat,baik belajar masak karipap.

Tak ramai yang mampu untuk membaca Al-Quran,bezikir atau baca surat khabar sekalipun selama 45 minit.45 minit terasa seperti 45 jam apabila orang-orang yang berhati kotor membaca Al-Quran. Tetapi kita dengan mudah mampu melayari Friendster sekurang-kurangnya 45 minit setiap hari. Aneh bukan? Cuba kita fahami teori relativiti oleh Albert Einstein yang membawa maksud " jika kita meletakkan tangan di atas dapur yang panas selama beberapa minit,macam satu jam,tapi kalau kita duduk besama perempuan cantik sejam,terasa sekejap." Di antara friendster dan Al-Quran, mana di ibarat dapur dan mana satu perempuan cantik?

Jika ada dikalangan pelajar yang berniat untuk meninggalkan friendster,tidak ada masalah.Tapi jangan pula terjun ke MySpace atau Facebook pulak! Ada juga senario, di mana golongan ini meninggalkan dunia chatting kerana berpendapat membuang masa dan lagha,tapi dilayannya pula 'dowloand' torrent ni,download anime cerita tu,anime cerita ni!Matlamat kita akhirat, bukan dunia. Dunia adalah alat, dan akhirat itu matlamat. Maka gunakanlah alat-alat yang ada di dunia ini dengan sebaik-baiknya. Oleh itu, setelah kita menarik diri dari Friendster, fokuskan usaha kita pada perkara-perkara yang lebih membawa manfaat kepada diri sendiri dan orang lain.

Dunia sekarang semakin pesat membangun, teknologi semakin canggih,tapi adakah manusia semakin matang. Bukan teknologi yang menjadi masalah,tapi kematangan yang harus sekata dengan teknologi yang ada. Kita kena terima dan belajar perbezaannya,kenal pasti dan yang paling penting terima perkara tersebut dengan kapasiti agama dan kepercayaan kita.

Entri kali ini lebih kepada pendapat peribadi. Entri ini bukan mengeluarkan fatwa, hukum, atau pun pendirian yang mewakili mana-mana pihak.

Semoga kita semua semakin dewasa di dalam iman, amal dan taqwa kepada Allah. Dan moga-moga kita bertemu dengan seorang sahabat sejati yang dapat membantu kita dalam perjuangan di bumi Allah yang fana ini. Amin Ya Rabbal 'Alamin!

~ Friendster aku masih ada,tapi jarang-jarang aktif ~

Dunia Friendster

SEJARAH FRIENDSTER.

Friendster ialah perkhidmatan rangkaian sosial internet. Laman ini ditubuhkan di Mountain View, California oleh Jonathan Abrams pada 2002.

Friendster ialah perkhidmatan rangkaian sosial terkenal sehingga sekitar bulan April, 2004 apabila MySpace mengambil alih dalam jumlah halaman dilihat, menurut Nielsen//NetRatings.Friendster juga menerima persaingan daripada semua-dalam-satu laman web seperti Windows Live Spaces, Yahoo! 360, dan Facebook.

Di dalam friendster, ahli boleh melihat profil sahabat-sahabat mereka dan boleh menjadi sahabat kepada ahli friendster yang lain.Selain itu ahli juga boleh menghantar mesej, gambar, testimonial, memberi komen, buletin, blog,forum serta boleh memasuki mana-mana kumpulan (group) yang diminati, dan banyak lagi aplikasi yang menarik.

Friendster adalah di antara syarikat yang popular. Kejayaan Friendster kemudiannya membawa kepada penubuhan MySpace pada bulan Julai 2003. Oleh itu,pada tahun 2003, Google telah cuba untuk membeli kompeni Friendster pada harga USD 30 juta. Namun demikian, Jonathan Abrams telah menolak tawaran lumayan Google.

Ramai pihak berpendapat bahawa tindakan beliau agak kurang bijak. Ini kerana jika beliau menjual Friendster kepada Google dengan harga yang ditawarkan itu, iaitu USD 30 juta, beliau akan mendapat kekayaan dengan cepat,kerana tawaran tersebut datang selepas setahun penubuhan friendster.Jika beliau menerima tawaran tersebut, Google boleh menyuntik lebih banyak teknologi, kemahiran dan pengalaman ke dalam Friendster. Ini seperti mana yang berlaku apabila Google membeli YouTube pada harga USD 1.6 bilion pada tahun 2006, iaitu 20 bulan selepas YouTube ditubuhkan.

Disebabkan strategi pemasaran yang lemah dan kelewatan memperkenalkan teknologi terbaru kepada pengguna, telah menjadi punca mengapa Friendster menjunam jatuh. MySpace yang pada dahulunya lebih merupakan klon kepada friendster telah berjaya mengatasi populariti Friendster. Pada 27 April 2009, populariti friendster terus merudum ke tangga 62, dibandingakna dengan Facebook(4),MySpace(9) dan Hi-5(25) dari segi jumlah pelawat yang melawat setiap hari.

~ Aku membuat rujukan di Wikipedia,alexa,inc dan crunhbase.~

Sunday, April 26, 2009

Duit Belanja

Ketika aku sekolah rendah agama, aku dapat duit belanja RM 0.30. Cukup untuk beli mee goreng atau nasi lemak dengan harga RM 0.20 dan air sirap RM 0.10.

Setiap kali pergi sekolah aku dibekalkan dengan masakan mak.Jadi duit belanja tu, boleh aku beli jajan yang terdapat di pintu belakang sekolah.Bukan setiap hari 30sen tu akan habis,aku akan simpan untuk hari esoknya. Motifnya boleh beli air teh ais,atau teh o ais limau yang di jual khusus untuk ustaz atau ustazah. Harganya 30sen, jadi siapa yang dapat beli teh ais tu suatu kenikmatan dan kemewahan.

Aku sekolah agama waktu pagi,sebelum pergi sekolah tu aku akan salam dan cium mak,sekali sekala je dapat salam ayah kalau ayah tak kerja. Perangai aku,dah pakai kasut siap-siap dulu baru jerit panggil mak. "Mak nak pergi sekolah dah," jerit aku dari muka pintu. Setiap pagi,mak aku akan keluar dari dapur melayan kerenah anak sulungnya tu,dan setiap kali itulah dia akan mengomel,"lain kali salamlah dulu,baru pakai kasut". "Nak duit 'jebelan'," balas aku. Perangai kedua aku.suka cakap bahasa terbalik, duit 'jebelan' tu duit belanja.
"Mak takde duit kecil,minta ayah,"balas mak.
Ayah aku baru bangun tidur,seluk sakunya terus bagi duit pada aku.Bila naik bas je,aku pun tengok duit belanja,patutlah rasa semacam kocek aku,rupanya bukan 30sen, tapi RM1.10. Ayah aku tersalah bagi,bentuk 20sen dengan syiling seringgit lebih kurang sama.Macam kena loteri aku.Masa rehat,aku belanja sakan,teh ais,jajan sudah pasti aku beli.

Keesokkan paginya,aku cakap dengan ayah,"ayah tersalah bagi duit semalam,duit tu abang dah habiskan".
"owhh,patutlah minta duit belanja kat ayah hari ini,harap ayah tersalah bagi lagilah tu",balas ayah.

Hari itu je ayah tersalah bagi duit belanja,lepas tu ayah tak silap lagi.Sekali tu aku je merasa RM 0.30 sen jadi RM 1.10sen.

~ Peluang datang sekali ~

Friday, April 24, 2009

Terus Boikot Israel.


Sepasang suami isteri berjalan-jalan di kompleks membeli-belah. Sekadar mencuci mata,dan mata meliar mencari kedai makan untuk megisi perut.

Sambil berborak mesra, mereka pun melepasi Restoran KFC.Tahu sajalah,kalau lalu depan KFC je,bau rempahnya tu bisa menggoncang jiwa.Tak rasa lapar pun,rasa terliur dek penangan dari 'original recipe' nya tu.

Suami pun bertanya,"Ayang,sampai bila kita nak boikot KFC ni ya?".

Si isteri tadi hanya mendiamkan diri tanda masih BOIKOT produk Israel ni.

Kalau kita menyoroti dalam kisah para Anbiya'.Dalam peristiwa Nabi Ibrahim A.S yang dihumbankan dalam api yg marak oleh Raja Namrud.Atas rasa cinta burung pipit ini kepada Allah,lalu dia pun mengambil air dan di letakkan dalam paruhnya yang sangat kecil itu untuk memadamkan api yang marak.Kejadian ini di lihat oleh malaikat Jibril A.S. dan Jibril bertanya kepada sang pipit, "adakah air itu mampu untuk memadamkan api yang menggila marak dan besar itu?."
Lalu sang pipit menjawab, "Ya,aku tahu bahawa air yang di bawa tidak mampu untuk padamkan api yang ganas itu. Namun, sekurang-kurangnya aku telah menjalankan tanggungjawab aku, tidak berdiam diri apabila melihat kekasih Allah dizalimi oleh orang kafir."

Nah.!Walaupun sudah diketahui bahawa hanya sedikit air yang boleh di bawa dalam paruhnya itu pun burung pipit ini masih mahu memadamkan api itu,niatnya mahu membantu orang yang menegakkan agama Allah.

Tidak kira lah kita berjihad dalam konteks apa,menuntut ilmu,berdakwah,menentang hawa nafsu dan sebagainya, yakinlah bahawa Allah SWT tidak melihat apa natijah yang kita perolehi daripada sesuatu yang kita lakukan. Sebagai contoh ,kejayaan atau kegagalan kita dalam peperiksaan atau ujian kehidupan sekalipun,ianya tak memberi kesan satu pun pada Allah SWT,tetapi Allah SWT melihat sejauh mana usaha yang kita lakukan.


~ Setiap mujahadah itu ade kemanisannya ~

Wednesday, April 22, 2009

Sekadar Mimpi.

Pada suatu pagi ketika bangun dari tidur.

Celik je mata seorang isteri, seraya berkata pada suaminya, “Malam tadi ayang mimpi abang dapat bonus,lepas tu abang hadiahkan ayang set barang kemas. Apa pendapat abang mengenai mimpi ayang ek?."

"Hmm..ayang pasti akan mengetahuinya bila abang balik dari kerja malam ni."jawab suaminya sambil membisik manja.

Kepulangan suami di nanti dengan penuh debaran.

Malam itu si suami memberikan kepada isterinya sebuah bungkusan hadiah.

Dengan hati berdebar-debar dan terkulat-kulat sambil tersengih, si isteri pun membuka bungkusan hadiah itu perlahan-lahan dan isi bungkusan hadiah tersebut adalah sebuah buku yang berjudul, “Jenis-jenis Mimpi dan Maksudnya“.

~ Umpama mimpi dalam mimpi..hehe ~

Monday, April 20, 2009

Selamat Hari Isnin

Hari Isnin (Monday dalam Bahasa Inggeris) merupakan hari kedua dalam seminggu dan terletak antara Ahad dan Selasa. Perkataan Isnin itu berasal dari Bahasa Arab, yang bermakna dua, iaitu hari kedua dalam seminggu. Namun begitu, di sesetengah tempat di Eropah, Isnin dianggap sebagai hari yang pertama.

Walau bagaimanapun, kebanyakan orang bersetuju bahawa hari Isnin adalah hari pertama bekerja dan bersekolah .Jadi, sesetengah orang mungkin mengalami rasa malas atau "sakit" pada hari ini. Garfield, seekor kucing kartun yang popular, juga bencikan hari Isnin.

Motivasi hari Isnin.
Kalau kita hendak tengok hari apa orang yang akan berpakaian paling kemas, pasti pada hari Isnin.Baju dan seluar di gosok kemas,kalau ada baju baru,hari Isnin akan menjadi pilihan untuk digayakan. Hari Ahad malam Isnin masing-masing sibuk nak gosok baju untuk esoknya.Baju dan seluar tu kalau gosok,memang tenyeh kuat-kuat saterika,supaya nampak memang bergosok.

Kalau baju dan seluar tu, memang aku gosok siap-siap seawal hari Sabtu lagi. Kasut sekolah tu memang dah siap berkapur cap Bata. Kalau kasut yang di sidai terjatuh dari ampaian,ada tercalit kotor sikit,memang aku kapur semula kasut tu.Kasut sebelah kiri yang terkotor,kiri kanan aku kapur balik.Punyalah semangat. Dalam beg sekolah tu,memang dah masukkan buku-buku untuk jadual hari Isnin, kalau hari biasa tu,selepas Suboh baru terkial-kial nak semak jadual.

'Krinngg...kringg...kringg'.Jam 7.30 tepat,loceng sekolah berbunyi.Masing-masing berkumpul dalam dewan untuk perhimpunan,nama dewan sekolah aku,Dewan Mustika. Berbaris panjang,sesak. Hari Isnin, hari paling pantang, pantang kalau kasut terpijak. Kalau ada kawan terpijak kasut kita,rutin biasa bongkokkan badan, dan bersihkan guna tangan,maklumlah kasut tengah putih bersih. Kalau masa sekolah rendah,kalau kasut kita terpijak,kita pijak balik kasut kawan kita tu, baru adil dan puas hati ;p.

Tiba hari Selasa,Rabu dan seterusnya,aku dah tak berapa ambil pusing pasal kasut putih lagi.Kalau tiba Pendidikan Jasmani dan Kesihatan,hari klimaks kasut berlapuk haruk! Hujan atau panas tak kisah,janji dapat main bola, itulah subjek yang ditunggu-tunggu setiap minggu.

Begitulah rutin setiap minggu,walaupun waktu kerja aku tak menentu sekarang,aku tetap terasa hari Isnin tu hari pertama bekerja. Kalau aku 'off day' hari Rabu,bila pergi kerja terasa macam hari Khamis tu macam hari Isnin pula. Jadi, motivasi aku pergi kerja pada hari itu pun,macam hari pertama juga;)

Pejam mata dan renunglah diri, kalau kita perlu melakukan ANJAKAN PARADIGMA, maka lakukan segera, tapi manusia tetap manusia.. sukar untuk berubah kerana kita selalu beranggapan kita lebih baik... adakah dengan merasakan itu kita sememangnya terbaik?

~ Jumaat tetap penghulu segala hari ~

Friday, April 17, 2009

TAKUT GAGAL SEBELUM BERTINDAK

Aku berkesempatan kerja di kedai kereta tepakai. Aku menjawat jawatan sebagai Sales Executive, bunyi je gempak, padahal salesman cikai je :)

Hari pertama aku kerja,pakai segak la konon. Tapi,aku rasa macam kerja di bengkel pula. Sebabnya,aku ke kiri, terkena minyak gris,aku ke kanan minyak, ke belakang minyak, ke depan pun minyak..bersepah. Habis waktu kerja, habis baju dan seluar terkena minyak..dah tak segak.

Hari keduanya,aku dah tahu tempat mana yang berminyak,Oleh itu, aku cuba elakkan dari terkena baju aku..Tapi habis waktu kerja, ada juga minyak yang melekat.

Hari seterusnya, aku lebih berhati-hati.Akhirnya bejaya juga aku mengelakkan dari terkena minyak lagi untuk hari-hari yang mendatang.

Persoalannya,kenapa aku cerita di sini? Sebabnya hendak kongsi pengalaman. Macam dalam kehidupan kita sehari-hari.Kalau kita gagal atau jatuh, janganlah pula cepat putus asa.Jangan terlalu fobia untuk menempuh jalan yang serupa, walaupun kita pernah gagal di tempat yang sama.Kita ada pengalaman,pandai-pandailah guna pegalaman yang kita ada. Kalau pun kita sendiri tiada pengalaman, tak salah kita menimba pengalaman dari orang yang terdahulu atau orang di sekeliling kita.

Dalam kehidupan ini, kita ada dua pilihan iaitu gagal atau sukses.Yang pasti, semua orang akan memilih untuk sukses. Tapi, tak siapa yang dapat menolak jika kegagalan masih menghampiri diri,padahal sudah berusaha sebaik mungkin.Kegagalan merupakan hal yang manusiawi, kerana tidak semua manusia mampu mencapai keberhasilan.Ramai orang yang sangat trauma pada kegagalan. Padahal,ada beberapa orang yang 'TAKUT GAGAL SEBELUM BERTINDAK'.Sikap inilah yang membuatkan mental kita tidak berkembang.

Di zaman yang semakin kompetitif ini, orang-orang yang mampu bertarung melawan zaman hanyalah orang-orang yang percaya diri, agresif, sedikit nekad, pandai bicara, dan memiliki 'performance' yang bagus.Orang yang berilmu,tapi tidak pandai menrefleksikan kepandaiannya,maaf saja,pasti sukar mencapai sukses.

Tidak takut gagal sama dengan dengan percaya diri. Sikap ini merupakan modal dasar seseorang untuk mencapai sukses. Kerana orang yang percaya diri dan tidak takut gagal adalah orang-orang yang menghargai kemampuannya. Kerana, orang yang takut gagal dan tidak percaya diri hanyalah orang-orang pengecut yang selalu meragukan kemampuan dirinya. Percayalah jika kita percaya diri, orang akan tertarik memperhatikan kita. Dan di saat orang memperhatikan kita, inilah saatnya bagi anda untuk tunjuk kemampuan.

Ada baiknya kita mengisi hari-hari kita dengan kegiatan yang bekualiti,kita tak akan menghasilkan apa-apa dengan hanya termenung diri. Cuba kita perluaskan pergaulan kita,jika hanya mengurung diri,tak siapa tahu yang kita ni pandai.Kita jangan takut dikritik,apabila mendengar kritikan,kita bisa memperbetulkan kekurangan diri.

Tapi jika kita masih gagal juga, bererti ada hal-hal di luar kuasa kita. Jangan patah semangat, jadikan kegagalan itu sebagai cermin untuk menuju sukses, yang penting jangan berhenti berusaha dan juga berdoa.

~ Semoga Sukses Dengan Keredhaan ~

Friday, April 10, 2009

Status Baru

Sejak zaman kanak-kanak lagi aku gemar akan koleksi baju melayu. Memang setiap hari jumaat aku biasa dengan baju melayu lengkap. Cekak musang atau teluk belanga aku tak berapa kisah.

"Sayang, nak pakai baju melayu juga ke hari ni?" tanya honey.

" Ya,pakai baju melayu lengkap ek" balas aku.

" Apa? baju melayu nikah?" sahut honey terkejut.

"Isshh..bukan, baju melayu lengkap."balas aku lagi.

Baru bangun tidur, barangkali telinga masih ngantuk kot..hehe.


Selesai mandi,aku pun capai baju melayu yang honey gosokkan ( terima kasih, honey).
Aku agak terkejut, baju yang di gosok tu baju nikah kami.

"Erk, takkan nak pakai baju nikah pi kerja", tanya aku.

"Apa salahnya? bila lagi nak pakai? tunggu nikah lagi satu ke?" suara honey yang kurang jelas.

"A'ah kot", aku ya kan saje.

" Apa, sayang? "

Padahal aku tak berapa jelas apa yang honey cakap tadi.hehe.

Usik mengusik pun bermula.

" Wahh, bertuahnya.Dahlah gosokkan baju, sediakan sarapan, hantar sampai depan pintu lagi untuk sayang nikah lagi satu." aku mengusik.

Telinga aku di cubitnya. " Ni supaya telinga terang bila tok kadi cakap nanti" balas honey.

Sampai tempat kerja, aku pun hubungi si dia.

"Sayang dah sampai", aku mula bicara.

Balas honey," Sampai mana? ofis ke masjid?

Aku menulis kali ni, sebab aku bahagia. Bukan cerita si suami ambil kesempatan atas peluang yang di beri si isteri.

Sekadar cerita usik mengusik, tiada salahnya kan?

Ek'eh,tetiba aku cerita pasal suami isteri pulak kan? hehe..masa aku rajin menulis kat blog ni dulu,status aku bujang, sekarang aku dah berkawhin ;)

p/s: Berat badan aku dah naik,tapi baju nikah aku masih muat lagi tau :)

KEMBALI MENULIS

Assalamualaikum.

Sekian lama aku tidak menulis di blog ni,rentak menulis aku pun sedikit kekok.
Kalau kita tak banyak membaca, macam mana hendak dapat idea.
Kalau kita tak banyak memerhati, macam mana hendak menilai.

Kenapa mesti menulis cerita terbaik? Bagaimana kalau kita tidak mampu untuk menulis cerita terbaik? Tentu kita akan kecewa kerana merasa gagal untuk menghasilkan tulisan atau karya yang berkualiti.

Mungkin betul,kebanyakan penulis novel menulis untuk mencapai anugerah tertinggi.

Tetapi hendaklah kita sedar, bukan semua penulis dapat menghasilkan karya yang terbaik. Menulis itu tentu memerlukan masa dan kerajinan serta kebolehan yang telah mereka pupuk setelah sekian lama.

Kita hendaklah mempunyai sikap terus menulis.
Tidak kira sama-ada tulisan kita bermutu atau tidak. Yang pentingnya ialah terus dan terus dan terus menulis. Walaupun kita tidak pandai menulis,tetapi kita mempunyai hak untuk meluahkan perasaan melalui penulisan.

Jangan peduli apa orang lain kata.
Jika kita terlalu mengambil hati terhadap kata-kata orang lain yang tidak berapa senang dengan penulisan kita, kita mungkin akan terus diam membisu.

Selamat menulis.