Saturday, April 17, 2010

STATUS BLOG


Bekerja dengan diam lebih baik daripada diam tak bekerja. Namun diam tak bekerja masih lebih baik daripada bekerja tapi tak boleh diam. Dan, yg paling parah adalah orang yg tak boleh bekerja juga tak boleh diam...
Diam sementara atau sampai di sini?

Tuesday, October 20, 2009

Memori



Syawal juga telah berlalu,sekarang kita berada dalam bulan Dzulka'edah.
Walaupun lagu ini khusus untuk Hari Raya,yang tersiratnya lebih berkisarkan pengorbanan seorang ayah kepada anaknya.Terasa dekat video klip ini dengan aku.

Memori tahun 80-an.
Ketika itu usia aku 5 tahun,dan adik perempuan aku berusia 3 tahun. Ayah menyewa rumah di Klang Lama.Setiap malam ada penjual sate yang menaiki basikal akan melintasi rumah kami sambil membunyikan locengnya untuk menarik perhatian.
Hendak dijadikan cerita,pada satu malam itu,kami dua beradik ingin memakan sate.Kami tidak pernah ambil pusing pun akan bunyi loceng si penjual sate,entah kenapa kami dua beradik beria sangat hendak makan sate pada malam tersebut. "Ayah,hendak sate",pujuk kami.Ayah hanya mendiamkan diri.
Penjual itu makin kuat melagukan "sate.sate..sate". "Belilah sate,ayah,kami hendak makan",teriak kami.
Ayah tidak bersuara,lalu menutup pintu supaya jertian penjual tadi tidak kedengaran.Apa lagi,kami dua beradik pun menangis dan menjerit hendak sate.Ayah tidak memarahi kami,hanya mampu berkata,"Nanti ayah ada duit ayah belikan." Kami terus menangis dan memaksa ayah beli sate.
Ayah membiarkan kami,lalu masuk ke bilik kerana tiada duit untuk membeli sate sambil menitiskan air mata... ...

Cukup bulan ayah belikan kami sate Ria yang sangat popular pada zaman itu.Kami pun menikmati sate sepuas-puasnya tanpa mengerti pengorbanan ayah pada masa itu.

Baru sekarang aku mengerti dan terasa sebak bila teringat kisah ini.

Info: Sate disebut sate', satay disebut satai.

Thursday, October 8, 2009

Di Pagi syawal

Syawal 1430H kali pertama aku solat sunat Aidilfitri di kawasan bandar iaitu di Bandar Kinrara,Puchong. Sebelum ini,setiap tahun aku akan solat sama ada di Kluang,Johor atau pun di Pangsun.Suasana yang sangat berbeza bagi aku iaitu dapat merasai suasana di kawasan bandar pada musim perayaan.Tidak menjadi masalah bagi aku,kerana isteri ada disisi.Apa yang aku ingin kongsikan,adalah suasana di masjid pada pagi Syawal. Pada pemerhatian aku,orang kampung lebih berdisplin daripada orang kampung. Mungkin tidak dapat dinafikan orang di bandar mungkin dari golongan bijak,tapi sikap tidak mahu faham yang mengulit mereka.Seperti biasa,suara takbir bergema di seluruh alam. Dalam jam 8.25 pagi, Tok Bilal membuat pengumuman akan cara-cara untuk menunaikan solat sunat Aidilifitri,berulang kali ditegaskan setelah selesai solat,jangan balik dahulu.kita harus mendengar khutbah untuk menyempurnakan ibadat solat sunat Aidilfitri tadi.Tidak sama dengan solat Jumaat,khutbah dahulu baru solat,tegas Tok Bilal tadi.Makmum di dalam masjid tersebut pun mendiamkan diri tanda faham.
Solat sunat Aidilfitri pun dimulai.

Setelah Tok Imam memberi salam,berpusu-pusu orang bangun meninggalkan saff masing-masing. Aku hanya mampu perhatikan dengan perasaan yang sangat terkejut.Tidak pernah aku tengok suasana dan keadaan yang macam itu,bukan sahaja warga Indon,Bangla,golongan melayu yang bepakain lengkap melayu pun bangun meninggalkan masjid,siap mengusung anak yang sepatutnya diajar oleh ayah mereka. Mungkin si Bangla tidak faham bahasa yang dituturkan oleh Tok Bilal tadi,mustahil si melayu tidak faham dan mengerti.bagaimana lagi harus aku bersangka baik pada mereka?

~ "Ilmu tanpa amal itu sia-sia,amal tanpa ilmu itu sesat",pesan Imam Al-Ghazali.

Wednesday, September 30, 2009

IKTIKAF

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.
Ramadhan sudah berlalu,sekarang kita sudah berada di Bulan syawal.

Baru sekarang aku berkesempatan untuk menulis di blog yang tidak seberapa ini.
Pelbagai pengalaman,situasi,ilmu yang tidak sempat aku untuk coretkan di blog sepanjang bulan Ramadhan. Alhamdulillah,Ramadhan tahun ini setiap malam aku dapat pergi ke Surau Al-Ikhwan,Sg Buloh.Sekali sekala di Masjid Bandar Kinrara,Puchong. Hendak di bandingkan tahun lepas,berbuka puasa di pejabat,balik pun lewat malam. Ramadhan tahun lepas statusnya bujang,tahun ini sudah jadi suami orang,mungkin inilah hikmahnya.

Mungkin ada dikalangan kita yang aktif dengan jawatankuasa surau atau pun masjid.Suka aku kongsikan strategi yang surau di rumah aku gunakan untuk mengimarahkan surau. Kami jawatankuasa menetapkan,selepas solat Isyak berjemaah,kami akan memberi ruang kepada ustaz jemputan untuk memberi peringatan/tazkirah dalam sekitar 15-20 minit.selepas tazkirah,solat sunat tarawih berjemaah dimulakan. Lebih kurang jam 10, 8 rakaat telah dihabiskan,makmum yang berkemampuan sehingga 20 rakaat,boleh teruskan,sehingga solat sunat witir 3 rakaat.Pada sepuluh malam terakhir,solat sunat tarawih hanya dilakukan 8 rakaat,rehat 10 minit,kemudian dianjurkan solat sunat tasbih sepanjang malam itu.

Hendak dibandingkan kaedah yang digunakan oleh jawatankuasa Masjid Bandar Kinrara,selepas solat Isyak berjemaah,diteruskan dengan solat Tarawih 8 rakaat.Selepas itu,baru dimulakan dengan tazkirah..Jam juga sudah jam 10,sebelum tazkirah bermula,masjid pun sudah mula kosong,yang tinggal hanya jawatankuasa masjid. Terasa rugi kalau hendak dibandingkan dengan cara perlaksanaan surau Al-Ikhwan.Persoalannya di sini, bagaimana harus kita memakmurkan masjid?siapa yang harus bertindak dahulu?

Ada dikalangan kita yang ingin merebut pahala beriktikaf.
Masa rehat di pejabat tetap ada,walaupun bulan puasa. Ramai yang mengambil kesempatan untuk berehat.Di mana lagi,kalau tidak di masjid atau surau di pejabat. Surau pejabat sudahlah kecil,ramai pulak yang memenuhi setiap ruang yang ada.Ruang untuk orang yang ingin bersolat pun jadi terhad.Tidak mengapa,mungkin penat berpuasa. Tetapi,suka aku sarankan kalau mengantuk macam mana pun,bukalah stokin sekejap,pergilah basuh kaki.Kadang-kadang tu baunya semerbak,menganggu orang yang sedang bersolat.Itu belum kes yang berdengkur.

Kita sendiri perlu berubah.

Thursday, August 6, 2009

Rutin Hidup

Apabila pulang ke rumah, isteri pun menyambut dengan senyuman.
"Abang hendak kopi?"tanya si isteri.
"Boleh juga."balas si suami.

Si suami pun melabuhkan punggung pada kerusi di halaman rumah untuk menikmati udara segar sementara menunggu airnya siap. "Huh,penat betul hari ini,bangun pagi buta,meredah kesesakan lalu lintas,'punch card',kerja bertimbun-timbun kena siapkan.Kalau jadi budak-budak kan bagus,gembira hidup," si suami merungut di dalam hati.

Selang beberapa minit,anaknya pulang dari sekolah.
Si anak pun melintasi di depan ayahnya,sambil membebel seorang diri, "Penatnya sekolah,bangun pagi buta,berjalan pergi sekolah,balik tengah hari,pergi sekolah agama pula,balik sudah petang,bersiap kena pergi mengaji,lepas tu baru buat kerja sekolah,letihnya. Kalau jadi orang dewasa kan bagus,mesti seronok,"bisik anaknya.

Terdengar akan rungutan anaknya,dia pun menggelengkan kepala dan tersenyum sendiri sambil menghirup kopi yang di hidangkan oleh isterinya.

~ Masa Berlalu dan akan datang ~

Monday, July 6, 2009

Jangan Biadap Biar Beradab

Nostalgia di Surau Al-Ikhwan.

Semasa aku berumur 10 tahun,rutin pada hari Khamis malam Jumaat,aku dan rakan-rakan akan pergi ke Surau untuk mengikuti bacaan Surah Yaasin dan Tahlil.Bacaan Yaasin akan bermula selepas Solat Maghrib berjemaah,diikuti dengan Solat Isyak.

Semasa Pak Imam membaca Wirid selepas Solat Isyak,aku dan beberapa orang rakan akan tolong mengemas untuk jamuan makan untuk para jemaah. Masing-masing sibuk mengemas,aku tiba-tiba berhajat untuk pergi ke tandas.

Tukk..tuk..tukk..

Aku mengetuk muka pintu tandas. "Ada orang tak?" tanya aku. Pintu berkunci,bunyi air pun tiada.Senyap je ni.

Tukk..tuk..tuk.. Aku ketuk lagi,sebab langsung tiada respon.

Tiba-tiba, suara bergema dari dalam tandas, "Hei,ada orang ni",suara seorang makcik.

"Ooo..ingatkan tiada orang,senyap je dari tadi,"balas aku.

Makcik menjawab dengan berkeyakinan,"Dalam tandas tidak boleh bercakap!"

"Eh,tu mackik tengah bercakap,hehe.."aku menjawab selamba dan berlalu pergi.

Aku terfikir,kenapa makcik itu masuk tandas lelaki?aku bertanya dan tersenyum sendiri.


Zaman sekarang di tandas awam.

"Hello..hello.."
Aku yang tengah 'qadha hajat' berbisik sendiri,"Orang sebelah ni buat apa ek? bising betul,menganggu fokus aku."

Rupanya-rupanya,boleh pulak makhluk ni bergayut cakap telefon dalam tandas awam tanpa rasa bersalah.Ada yang siap boleh bergelak sakan. Ini tidak boleh jadi.

Aku pun menyampuk mudah, " Shhhhh..".

"Wei,aku telefon sekejap lagi,orang sebelah marah pulak,"bisik pada kawannya.

Baru suasana aman dan tenang kembali. Agak-agaknya,kawan si makhluk yang dia bercakap tadi ,tahu atau tidak yang dia berada dalam tandas awam sebenarnya? Kalau tidak tahu,pasti dia tertanya-tanya,orang sebelah mana pulak yang marah ni? hehe.

~ 'Qadha hajat' terbahagi kepada cara yang Haram,Makruh dan Sunat, mari kita sama-sama ingat semula :) ~

Wednesday, June 24, 2009

Mencipta Alasan

Kesinambungan daripada entri sebelum ini yang bertajuk Terus Boikot Israel.

Mungkin di kalangan kita pernah mendengar keluhan daripada individu yang berasa berat untuk memboikot produk Israel. Pelbagai alasan yang dibuat dan dicipta supaya mempunyai alasan konkrit untuk terlepas daripada memboikot.

"Macam mana kita nak boikot?kita sudah selalu pakai dan guna seharian dari zaman atuk nenek lagi,susahlah hendak ubah."

Kalau kita boikot makanan segera,rugilah nanti syarikat tersebut.Kesian anak melayu kita yang kerja sebagai juruwang di situ.Mereka hendak kerja apa nanti? Ramai nanti yang tidak bekerja,dahlah sekarang susah mendapat pekerjaan.Itu antara alasan yang popular yang kadang-kadang susah untuk di jawab semula.

Kaitan.

Jika begitu pemikiran kita,mungkin inilah alasan yang digunakan kenapa dan mengapa isu penjualan rokok tidak selesai. Pelbagai kempen yang telah di buat,iklan di media tentang bahaya merokok,penjualan rokok hanya kepada 18 tahun ke atas,kenaikan harga rokok,kawasan larangan merokok,amaran bertulis dan bergambar di kotak rokok. Itu semua langsung tidak membantu untuk mencegah daripada orang ramai merokok. Contoh yang terbaik, apabila sebatang pokok diserang anai-anai,apa langkah yang terbaik? adakah kita cantas pucuk dan dahannya sahaja? atau pun kita tebang separuh daripada pokok tersebut? Penyelesaiannya,sudah tentu kita perlu tebang atau bakar keseluruhan pokok tersebut supaya anai-anai tidak membiak dan berjangkit pada pokok yang lain.

Kita sudah sedia maklum akan kesan buruk merokok,sama ada perokok aktif atau pun mangsa,iaitu perokok pasif. Kalau di tanya pada perokok,mereka pun sudah tahu akan kesan buruk dari amalan merokok.Kalau tidak di jual rokok. Ada wujud ke perokok di Malaysia khususnya?

Jadi kenapa di jual juga?

Alasan yang boleh di cipta, kalau berhenti merokok,anda tidak kesian ke pada peladang tembakau? Jika rokok tidak di jual,peladang tembakau akan kehilangan pendapatan dek tidak ada proses membuat rokok yang selama ini menjadi sumber utama.Kilang membuat rokok pun akan tutup,ramai pekerja akan kehilangan pekerjaan.

Jika tidak ada asap rokok di ruang lingkup udara ini,penyakit akan berkurangan,pesakit jantung,yang berkaitan paru-paru,bronkiul,bronkius dan sewaktunya akan tiada.Penyakit berkurangan,pesakit pun akan kurang ke hospital. Justeru itu,kesian nanti pada doktor yang akan kurang pesakit,tiada kerja hendak buat,lama-lama jumlah doktor dan jururawat terpaksa di kurangkan sebab penyakit-penyakit tersebut sudah tiada sebab tiada orang yang merokok. KESIAN PADA DOKTOR KAN?

Tambahan bagi mencipta alasan untuk merokok,jika tidak ada penjualan rokok,sumber pendapatan ekonomi negara akan terjejas. Mungkin mereka terlepas pandang bahawa kempen tidak merokok selama ini memakan jutaan ringgit,yang langsung tidak memberikan kesedaran. Mana mungkin,kita yang jual rokok,kita juga yang buat kempen tidak merokok.

Di Israel, merokok adalah 'taboo', apabila kita diundang makan di rumah Yahudi, jangan sesekali kali merokok, dan tanpa malu mereka akan menyuruh kita keluar dari rumah mereka dan merokok di luar rumah mereka. Menurut saintis di Universiti Israel, siasatan menunjukkan nikotin dapat merosakkan sel utama pada otak manusia dan akan melekat pada gen, ini bermakna keturunan perokok bakal membawa generasi yang cacat otak,iaitu bodoh dan lembap. Suatu penemuan yang hebat ditemui oleh saintis yang mendalami bidang gen dan DNA.

Ironinya, pemilik pengeluar rokok terbesar adalah …… tekalah sendiri!

Kita selalu mempertikaikan kuasa yang ada dan tidak digunakan oleh pihak kerajaan,justeru itu,sekarang kita ada kuasa berkaitan isu ini,adakah kita terjemahkan dengan tindakan?

Jangan kita letak AKAL pada nombor SATU, AL-QURAN pada nombor DUA.

Monday, June 15, 2009

Syukur Nikmat

Orang yang gemuk hendak kurus.
Orang yang kurus hendak gemuk.

Orang yang tinggi hendak rendah.
Orang yang rendah hendak tinggi.

Orang yang gelap hendak putih.
Orang yang putih hendak gelap.

Orang yang rambut hitam hendak perang.
Orang yang rambut perang hendak dihitamkan.

Bagi kita yang menyedari bahawa hidup ini tidak mutlak, diharapkan berfikir jernih dalam menyingkapi setiap kejadian dan fenomena.

Di televisyen yang banyak ditayangkan iklan pemutih,untuk baju mahu pun untuk kulit, tetapi ada satu iklan penghitam,untuk kasut. Mungkin orang Eropah kehairanan bila menonton banyak iklan pemutih tersebut, sebab dia lebih bangga dengan kulit yg coklat kehitaman yang terjemur matahari.

Friday, June 12, 2009

Jenama

Mungkin ada di kalangan kita pernah menyebut 'Colgate'.Hendak beli 'Colgate',guna 'Colgate'..Hmm..hendak beli 'Colgate' apa ya? 'Colgate' cap 'Darlie' atau 'Mukmin'.Walhal 'Colgate' adalah salah satu jenis jenama Ubat Gigi.Disebabkan produk tersebut telah lama bertapak di Malaysia,dan jenama lain masih tidak sepopular jenama Colgate.Cuma kebelakangan ini,jenama 'Colgate' sedikit terjejas kerana rakyat sudah mula beralih arah ke produk yang lebih Islamik yang tidak ada isu boikot.Di tambah pula dengan isu ketiadaan logo Halal JAKIM.Baru-baru ini syarikat tersebut mula memainkan peranan di iklan,bahawa untuk memilih produk penjagaan mulut,bukan hanya logo Halal,tetapi florida juga penting.Adakah tarikan baru produk Colgate, dengan tema 'Kini dengan logo halal Malaysia' mampu menarik minat rakyat semula? Ada kemungkinan ke,selepas ini produk ubat gigi jenama Halagel akan mengatasi Colgate? Adakah orang akan guna jenama Halagel untuk merujuk sebagai ubat gigi selepas ini?

Para ibu bapa juga,sering menggunakan jenama 'Pampers' untuk merujuk kepada lampin pakai buang.Untuk menyebut lampin pakai buang,memang terlalu panjang.Jadi,kerana itu kebanyakan orang lebih senang menyebut 'Pampers',kerana itu produk yang popular untuk lampin pakai buang.

Begitu juga dengan makanan mee segera.Kalau ditanya pada kita,apa agaknya yang terlintas di fikiran kita? Sudah pasti,'Maggi'.Itu yang kadang-kadang kalau ibu bapa bekalkan pada anaknya yang tinggal di asrama,"Nah,ayah bekalkan 'Maggi'". Bila di belek,bukan jenama Maggi,tetapi mungkin 'Cintan'.

Jika produk penambah perisa,bagaimana pula? Rasa-rasanya ada atau tidak produk lain selain ajinomoto yang kita tahu?

Sebenarnya ada juga makanan di Malaysia yang berjaya di jenamakan,ada yang di namakan dengan nama pemilik dan nama tempat.Sebagai contoh Sate Sahmuri dan Mee Bandung Muar.

Zaman muda dulu,ada seorang rakan bertanya,"Wei,kau ada badminton tak?" Aku menjawab sinis,"Kenapa?kau hendak main raket ke?".

Entri kali ini,hanya coretan semata-mata untuk membuatkan diri ini berfikir.

~ Dekat di hati ~

Friday, June 5, 2009

Renungkan

Lihatlah dengan hati kerana pandangan mata selalu gelap, tak mampu menilai hakikat.

Sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada [Al-Hajj 22: 46]

~ Tarbiah Dari Allah ,“Barangsiapa yang Allah mahukan dirinya beroleh kebaikan, nescaya diujinya dengan kesusahan” (Hadith riwayat al-Bukhari) ~

Wednesday, June 3, 2009

Belum Rezeki

Genap 9 minggu,honey telah disahkan oleh doktor di Subang Jaya Medical Centre mengalami keguguran.Alhamdulillah,kami di beri kesempatan oleh Allah untuk merasai nikmat bakal mama dan baba,walaupun hanya 9 minggu.Ramai lagi pasangan yang langsung tidak dapat merasai pengalaman yang indah bila disahkan mengandung.Seperti pelakon,Dynaz Mokhtar yang keguguran ketika usia kandungan mencecah 6 bulan baru-baru ini,pasti lebih menyedihkan.

Jika tiada aral melintang,esok 4hb Jun,honey akan menjalani prosedur DNC(Dilatation and Curettage) di SJMC iaitu prosedur membersihkan rahim selepas keguguran.

KEHIDUPAN (INTEAM)
Kesenangan mendatang tak akan selamanya,
begitula selepas susah ada kesenangan,
seperti selepas malam datangnya siang,
oleh itu waktu senang jangan lupa daratan..

Gunakan kesempatan untuk kebaikan,
sebelum segalanya terlepas dari gengaman,
kelak menyesal nanti tak berkesudahan,
apa gunanya sesalan hanya menekan jiwa..

Jangan difikir derita akan berpanjangan,
kelak akan membawa putus asa pada tuhan,
ingatlah biasanya kabus tak berpanjangan
setelah kabus berlalu pasti cerah kembali..

Ujian adalah tarbiah dari Allah,
apakah kita akan sama ataupun sebaliknya,
kesenangan yg datang selepas kesusahan,
semuanya adalah nikmat dari Tuhan..


TELADAN.
Sebelum ini,abang ipar aku bertukar status kepada ayah semasa 3 tahun usia perkahwinan mereka.Pada tahun ketiga perkawinan,baru abang mendapat khabar gembira di mana yang isterinya positif mengandung.Akan tetapi,berita gembira itu hanya sementara,kerana isterinya juga telah keguguran.Kesabaran dan ketabahan mereka berbayar,apabila mereka telah di kurniakan cahaya mata,bukan seorang,tetapi kembar dua orang perempuan.Apabila mendapat berita keguguran honey,abang menghubungi kami memberi nasihat,"takpe,nanti macam abang,selepas je gugur,mengandung lagi sekali,dapat kembar pulak".

Mudah-mudahan honey selamat untuk menjalani prosedur DNC esok.
Terima kasih pada 'sifu phographer' aku,"semoga Allah menjadikan yang lebih baik nanti,jangan sedih-sedih,banyakkan doa dan istigfar"nasihatnya dalam SMS.
Terima kasih juga pada senior Alin,Shamsuri dan Hafiz Laili yang datang ziarah honey di rumah.

"Jangan Ya Allah Engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri,walaupun kadar sekelip mata atau kadar masa yang lebih pendek dari itu.Wahai Tuhan yang paling mudah dan cepat mempekenankan pinta,perkenankanlah.Ya Allah, gantikanlah apa yang telah aku hilang, dengan sesuatu yang lebih baik.. Amin Ya Rabbal 'Alamin!."

~ Setiap dugaan ada kebaikan ;) ~

Thursday, May 28, 2009

Kenangan di 'ABUBAK'

Aku terkenangkan zaman aku dan rakan-rakan menyewa rumah yang di beri nama 'Abubak'.
Aku,si Jawa Johor,2 orang si mamat Ganu,2 orang Jawa Klang,abe Klate,dan mamat Penang.
Umur kami berbeza-beza,aku dan dua orang lagi sebaya,yang lainnya semua lebih senior.
Mula-mula kenal,aku panggil abg pada yang senior,lama-kelamaan panggil 'kau' dan 'aku' saja,lebih mesra.
Tapi itu bukan tiket untuk aku tidak hormat mereka,walaupun kami guna panggilan 'kau' dan 'aku', aku tetap hormat mereka sebagai senior.Tidak sesekali untuk mengambil kesempatan,kalau tidak jalinan persahabatan tidak akan kekal lama.

Belakang rumah Abubak tu Masjid.Masih terngiang-ngiang lagi laungan azan oleh Pakcik Tabligh setiap kali masuk waktu solat,terutamanya Subuh.Azan yang di kumandangkan sangat-sangat memecah keheningan Subuh.Suaranya sangat kuat,garau seolah-olah dia berada di sebelah telinga.Jadi,aku tidak perlu risau dan jarang kunci jam pada waktu Subuh,cukup dengan laungan azan dari Pakcik Tabligh tadi.Tidak patut kalau manusia di sekeliling Masjid itu tidak bangun dan pergi ke Masjid.

Pada satu hari tu,aku mendapat kecelakaan jalan raya ketika balik dari kuliah.Motor aku tegelincir dek pasir yang terdapat di atas jalan.Luka sana sini,kepala lutut yang paling dalam lukanya.Apabila di rumah,aku terpaksa memakai seluar pendek atas alasan sukar untuk bergerak.Makan seminggu juga,untuk luka di lutut betul-betul kering.Selepas 2 minggu,lutut aku sudah beransur pulih,tapi aku tetap pakai seluar pendek sebab selesa dan senang.

Pada satu tengah hari,kami satu rumah menonton televisyen.Sambil menonton,mamat Penang berbisik pada aku,"Sekejap lagi nak jumpa kau ya".Aku menganggukkan kepala.
Selepas habis tengok cerita,semua buat kerja masing-masing.Tinggal kami berdua tercongok depan televisyen. Dia pun memulakan bicara,"Aku hendak cakap sikit ya,kau jangan kecil hati dan fikir aku ni berlagak." Aku dengan muka selamba,"ok je,aku tak kisah pun.

"Aku cuma hendak tanya,macam mana dengan lutut kau?sudah baik ke?"tanya dia.
"Alhamdulillah,sudah baik,hendak berlari pun boleh",aku menjawab.
"Kau tahu kan,aurat lelaki dari mana sampai mana?"tanya si mamat penang.
"Tahulah,pusat sampai lutut,"dengan yakin aku menjawab.
"Kalau macam tu,kau sudah boleh pakai seluar panjang lepas ni kan"sambungnya lagi.
"Memang selama ni aku pakai seluar panjang,dekat rumah je aku pakai seluar pendek,ini pun sebab lutut aku luka."aku menjawab kehairanan.
"Masa lutut kau luka tidak mengapa,ada kelonggaran,sekarang sudah baik.Walaupun dalam rumah,kita kena tutup aurat juga.Dari paras pusat sampai lutut kita wajib tutup walaupun sesama lelaki,dan perempuan dengan perempuan,"terangnya lagi.
"Erk,aku betul-betul tidak tahu pasal perkara ini,"jawab aku kekeliruan.
"Tidak mengapa,sekarang kau sudah tahu kan?,"balas si mamat penang.
"Baiklah,sekarang ini aku betul-betul sudah tahu batas aurat yang sebetulnya",aku tersenyum dengan puas hati.

Nah.!kesan teguran itu aku ingat sampai sekarang,dan aku sangat menghargainya.Aku sangat tertarik dan menghargai Uslub Dakwah yang dia gunakan.Sambil menegur sambil mendidik.Itu antara adab yang kita lupa.Hukumnya haram jika tidak menutup aurat,tetapi kawan aku tidak menegur aku dengan melulu.Cuba bayangkan kalau dia menegur dengan cara,"Hei,nampak kepala lutut..! HARAM.! Masuk Neraka..!". Agak-agaknya apa reaksi aku atau orang lain yang ditegur sedemikian rupa? Mungkin aku menjawab "siapa suruh tengok" atau "kau peduli apa" atau "elehh,macam bagus", itu mungkin respons yang akan aku bagi pada masa itu.

Setiap perilaku dan amalan harian para pendakwah dan umat Islam hendaklah mencerminkan kesucian Islam yang menjamin kesejahteraan dan ketenteraman sejagat. Setiap tindakan akan dilihat oleh masyarakat non Muslim untuk dinilai sebelum menerima Islam. Tingkah laku mestilah berasaskan nilai tauhid, mengikut syariat Islam serta berbentuk ajakan kepada kesempurnaan Islam

Pendidikan Islam sendiri merupakan proses mendidik akal, jasmani, dan rohani manusia berasaskan nilai-nilai fitrah insaniah. Proses pendidkan Islam ini akan membina akhlak dan membawa kepada kehidupan yang sempurna. Dakwah secara ini perlu merujuk kepada cara dakwah Rasulullah S.A.W semasa di peringkat awal Islam yang lebih memberi penekanan kepada psikologi, rohani dan perasaan.

Dakwah juga boleh dijelaskan sebagai tugas untuk "secara aktif" menggalakkan umat Islam dalam penerusan kewarakan lebih kuat dalam semua aspek hidup mereka," suatu takrifan yang telah dijadikan pusat pada fikiran Islam sezaman.

Sampai sekarang aku masih ingat teguran tersebut,aku sangat bersyukur dan sangat terkesan di hati.

~ Pengalaman aku, perempuan kurang ambil pusing auratnya bila sesama perempuan ~

Tuesday, May 26, 2009

Luahan Rasa

Aku hendak gembira,tapi tidak tahu hendak reaksi macam mana,aku blur.Honey pun terkejut dengan reaksi aku yang sangat-sangat blur.Cuma yang terpacul dari mulut aku "i love you,mama."

Itu antara reaksi aku bila dapat tahu akan berita gembira yang honey telah mengandung.Sepanjang hari itu,muka aku selamba,macam tiada perasaan.Akan tetapi,di dalam hati aku tersangat-sangat gembira.Allah sahaja yang tahu.

Rupa-rupanya,cara aku ekspres kegembiraan pada keesokannya.Bukan di rumah,tetapi di tempat aku bekerja.Sampai saja di muka pintu bilik aku bertugas aku menyapa dengan suara yang lantang,"Assalamualaikum.Salam Sejahtera.Good Morning.!"

Kebiasaannya aku buat hal sendiri di meja depan komputer,sekali sekala je aku akan bersuara atau berborak dengan rakan sekerja.Tetapi lain pulak yang jadi pada hari itu.Habis dengan semua orang aku berborak,mengusik,mengacau.'Team Leader' yang selalunya serius dengan aku pun menjadi mangsa aku. Masing-masing rasa pelik akan perangai aku hari itu.

"Wah,banyak mulut ya kau harini". "Kau kenapa harini,mie?".Antara pertanyaan yang mereka lontarkan pada aku.Aku jadi macam itu,sebab aku terlalu gembira dan mereka belum tahu aku bakal jadi baba.

Aku balik dari kerja,aku ceritakan pada honey,yang aku mengusik semua orang di pejabat sebab terlalu gembira.

~ Ada berbagai cara untuk luahkan gembira ~

Monday, May 18, 2009

1 Campur 1 Sama Dengan 3.



Apa yang tersirat,semakin terungkai.

Pada 4 MAY 2009,honey disahkan positif mengandung.Memang sebelum itu,honey kurang sihat.Kami hanya menjangkakan sakit perut orang perempuan.Pada malamnya honey pening-pening.Pada paginya,aku terdengar honey muntah di dalam bilik air,aku jenguk di pintu bilik air,dan mungkin honey gosok gigi kuat sangat sampai terjolok tekak.Pagi itu juga aku tak berapa bermaya,dan honey sediakan sarapan yang terdapat daging burger.Selesai makan,honey muntah atas alasan tak boleh bau daging burger pula.

Aku pulang dari kerja,honey menyorokkan sesuatu di tangannya.Rupanya,honey pergi farmasi beli 'alat pengesan cinta'.Aku macam tak percaya,tapi percaya yang aku lihat pada alat pengesan cinta tu ada dua 'line'.Apa tandanya tu?Itulah tanda yang honey positif mengandung,'pregnant',berbadan dua.

Aku hendak gembira,tapi tidak tahu hendak reaksi macam mana,aku blur.Honey pun terkejut dengan reaksi aku yang sangat-sangat blur.Cuma yang terpacul dari mulut aku "i love you,mama."
Kami masih tidak puas hati,kami pun bergegas siap untuk pergi ke klinik di Bangi.
Sambil tunggu nama di panggil,honey berbisik,"Nak cakap apa dengan doktor ni?" "Ntahlah,'first time' ni,hehe," balas aku selamba.

Masuk dalam bilik doktor,kami pun bagitahu perihal tersebut. Doktor pun ambil data serba sedikit,dan tanya pada kami,"Hendak uji lagi ke?".Doktor pun macam malas hendak buat,sebab data sudah kukuh.Kami mengangguk kepala tanda setuju.Sah,memang positif.Alhamdulillah.

Dalam perjalanan pulang,kami pun khabarkan berita gembira pada emak dan ayah,dan terus bertandang ke rumah mami dan bapak untuk maklumkan berita gembira tersebut.
Hendak dijadikan cerita,bukan keluarga yang tahu dahulu berita gembira ini,tapi naquib usrah aku semester pertama di Universiti dulu,abang Hafiz Abdullah yang tejumpa di klinik tersebut.

Terima kasih pada Yousri dan Suhaila yang bertanya khabar(main tembak nak korek rahsia mulanya),Afif,Dayana dan sahabat-sahabat yang lain yang bertanyakan khabar kami.Seolah-olah ada sensor di kalangan sahabat-sahabat rapat ni.Terima kasih atas doa kalian.

~Alhamdulillah,mudah2an sahabat-sahabat aku dapat merasai pengalaman yang sama,Amin Ya Rabbal 'Alamin! ~

Wednesday, May 13, 2009

Ku Bahagia



Ini adalah video klip yang aku buat sempena Majlis Resepsi Emisha yang lalu.
Setiap kali,aku tengok video klip ini, mood dan perasaan aku macam tengah berada di meja makan beradab.
Pada sesiapa yang tidak berkesempatan tengok klip ini semasa majlis,atau pun tidak dapat hadir,bolehlah layan sekejap.

Emisha bahagia,semoga kalian pun bahagia.